Friday, January 30, 2009

Kisah dari Palestin..

"Saya tak nampak anak-anak perempuan saya, hanya nampak timbunan batu"


Sekeping gambar membawa seribu satu makna, seribu satu rahsia di sebaliknya. Begitulah dengan sekeping gambar yang dipilih oleh Sekretariat HALUAN Palestin untuk dipaparkan dalam poster-poster ceramah isu Palestin. Setiap kali melihat gambar tersebut, tentu gemuruh darah dan begitu sedih hati saya. Rasa terpanggil untuk saya menjelaskan apa yang sebenarnya hendak diceritakan oleh gambar seorang ibu bersama anak lelakinya itu. Berikut adalah apa yang telah terjadi kepada keluarga Balousha tersebut.

Rumah keluarga mereka kecil sahaja; tiga bilik, satu dapur yang kecil dan satu bilik air. Rumah itu dibina dengan batu konkrit tidak berkualiti, dibumbungi dengan atap asbestos yang beralun-alun di blok empat kem pelarian Jabalia di utara Gaza. Terdapat ratusan rumah sebegini, padat sehingga ke jalan-jalan yang sesak, dihuni oleh keluarga yang sangat miskin dan sentiasa terdedah kepada bahaya serangan.

Apapun pandangan kita, inilah rumah yang menjadi tempat Anwar dan isterinya Samira membesarkan 9 anak mereka. Sudah ditentukan Allah, rumah tempat mereka berteduh selama ini menjadi sasaran serangan bom Israel pada malam Ahad 28 Disember lalu.

Sebutir bom Israel melanda masjid Imad Aqil di kem pelarian tersebut waktu tengah-malam, memusnahkan bangunan masjid dan meruntuhkan kedai-kedai dan sebuah farmasi berdekatan.Kekuatan letupan tersebut amat dahsyat, hinggakan ia turut meruntuhkan rumah keluarga Balousha menjadi ranap sama sekali. 7 orang anak perempuan mereka tidur beramai-ramai di atas tilam dalam satu bilik dan merekalah yang paling teruk terkena letupan itu. 5 dari mereka terbunuh ketika tidur; Tahrir 17 tahun, Ikram 15 tahun, Samer 13 tahun, Dina 8 tahun dan Jawahar 4 tahun.

Imam, 16 tahun, juga tidur bersama mereka. Tetapi dengan ketentuan Allah dia bernasib baik kerana terselamat walaupun tercedera di kedua belah kaki. Dia akhirnya dapat ditarik keluar dari runtuhan, dan dikejarkan ke hospital. “Saya sedang tidur. Saya tak dengar apa-apa letupan,” kata Imam ketika duduk sambil menenangkan ibunya. “Saya hanya terbangun bila seketul batu terjatuh atas saya. Saya nampak semua adik-beradik di sekeliling saya, tapi saya tak dapat bergerak. Tidak ada siapa yang dapat lihat saya dari atas. Jiran-jiran dan pekerja ambulan juga tidak dapat lihat kami. Mereka berjalan di atas runtuhan atas kami. Saya mula menjerit, dan beritahu adik-adik saya, kita akan mati. Kami semua menjerit: ‘Baba, Mama. Tolong kami.’”

Kedua ibubapanya sedang tidur di bilik sebelah bersama dua orang adik, Muhammad 1 tahun dan Bara’a 12 hari. Bilik mereka musnah dan semuanya tercedera, tetapi mereka terselamat dan terus dibawa ke hospital, sebelum anak-anak yang lain ditemui.

Imam akhirnya dapat mengenal suara pakciknya di antara ramai penyelamat di luar, dan beliau menjerit lagi meminta pertolongan. “Dia nampak saya dan mula memunggah batu-batu dan runtuhan yang menimpa saya,” kata Imam. “Mereka mula menarik tangan saya, sedangkan kedua kaki saya masih tertindih batu.”

Ibu anak-anak malang itu, Samira, 36 tahun, melihat timbunan batu dalam bilik anak-anak perempuannya dan terlalu sedih, hingga timbul keyakinan bahawa semua anaknya dalam bilik itu telah mati. Seperti keluarga lain, dia sedang tidur ketika bom meledak. “Saya buka mata, dan lihat batu-batu di seluruh badan saya,” katanya. “Muka saya ditutupi oleh batu-batu konkrit.”

Samira memeriksa kedua anaknya yang tidur bersama, dan kemudian meninjau bilik sebelah. “Saya tak dapat lihat seorang pun dari anak-anak yang saya sangat sayangi, saya cuma dapat lihat timbunan batu dan bahagian atap. Semua orang beritahu saya anak-anak saya masih hidup, tapi saya tahu mereka semua sudah tiada lagi.”

~Samira mendukung anaknya yang terselamat, Mohamad sambil menangis melihat mayat anaknya Jawahar semasa upacara pengkebumian~

Kini Samira sudah keluar dari hospital dan pulang ke “rumahnya.” Dia terduduk di atas sofa, dikelilingi beberapa orang wanita, di ruman jirannya, tidak mampu untuk bercakap, terdiam begitu lama dan masih terkejut dengan apa yang terjadi.

“Semoga tentera Palestin akan bertindak dan membalas dendam dengan melakukan operasi serangan ke atas Israel. Saya berdoa supaya Allah membalas perbuatan mereka,” katanya lagi.

~Anwar Balousha, bapa kepada 5 beradik yang terbunuh, meratap sambil mendukung anaknya yang tercedera~

Suaminya Anwar, 40 tahun, duduk di sebuah lagi rumah jiran di mana sebuah khemah berkabung didirikan. Dia kelihatan pucat dan masih merasa sakit akibat kecederaan serius di kepala, bahu dan tangan. Tapi, seperti ramai pesakit lain di Gaza, dia terpaksa keluar dari hospital untuk memberi laluan kepada mereka yang sakit lebih teruk lagi. “Kami hanyalah orang awam. Saya bukan dari mana-mana pihak, saya tidak sokong Fatah atau Hamas, saya hanyalah seorang rakyat Palestin. Mereka menghukum kami semua, orang awam dan tentera. Apa salah kami orang awam?” Seperti lelaki lain di Gaza, Anwar tidak mempunyai pekerjaan, dan seperti orang lain di kem tersebut, dia hanya bergantung kepada bantuan makanan untuk hidup.

“Kalaulah yang mati itu adalah orang Israel, kamu akan lihat seluruh dunia mengutuk dan bertindak. Tapi kenapa tidak ada siapa yang mengutuk serangan ini? Apakah kami bukan manusia?” katanya lagi. “Kami hidup di atas tanah milik kami, kami tidak merampas dari Israel. Kami berjuang untuk hak kami. Satu hari kami akan dapatkan (tanah kami) semula.”

Itulah kisah yang tersirat di sebalik sekeping gambar yang sengaja kami paparkan untuk anda. Diharapkan kisah sedih mereka ini akan kekal di ingatan anda, supaya perjuangan membebaskan bumi Palestin daripada kezaliman Israel akan berkekalan hinggalah ke generasi yang akan datang. Berdoalah supaya Allah menyelamatkan mereka dari kebinatangan Israel, dan dapat dilahirkan ramai pejuang-pejuang dari bangsa Palestin yang akan membebaskan Masjid Al-Aqsa dari cengkaman bangsa yang dilaknat Allah - Zionis Israel.

Jangan lagi kita duduk berdiam dengan segala kemewahan yang kita ada. Sumbangkanlah sedikit dari kemewahan kita untuk mereka, sedangkan mereka juga adalah keluarga kita sesama manusia, dan saudara kita di dalam Islam. Betafakurlah sejenak, bayangkan sekiranya nasib seperti keluarga Balousha ini menimpa kita sendiri. Apa agaknya yang akan kita buat? Saya yakin, kita tidak akan sekali-kali terduduk diam. Oleh itu, sama-samalah kita membantu mereka tanpa berbelah bagi mahupun bertangguh.

~Mayat Dina Balousha diangkat untuk pengkebumian~

~Mayat 5 beradik mangsa serangan bom Israel diusung~

~Seorang dari saudara mereka mengangkat mayat Dina Balousha untuk pengkebumian~

~sumber dari : laman web haluanpalestin..
http://haluanpalestin.haluan.org.my

No comments:

Post a Comment